Friday 23 January 2015

Monsopiad



  • Sejarah Monsopiad




Lebih kurang 300 tahun yang lalu, masyarakat kadazandusun di kampung Kuai Kandazon, Penampang tinggal di rumah panjang. Sungai Moyog merupakan satu-satunya jalan utama perhubungan menuju ke arah Petagas dan ke arah Donggongon. Mereka mengunakan sungai sebagai jalan utama untuk mengambil hasil hutan dan menjual beli barangan antara mereka secara `barter trade’. Jika tidak menaiki sampan atau berakit, mereka berjalan kaki meredah hutan menuju ke tempat yang ditujui. Pada masa itu, kampung ini sering didatangi oleh perompak-perompak. Perompak-perompak ini mencuri hasil pertanian dan ternakan mereka. Keadaan ini menjadi ancaman kepada penduduk-penduduk disitu. Mereka sentiasa dalam ketakutan dan tidak berani berjalan seorang diri ke dalam hutan dan mengerjakan pertanian mereka. Bermula daripada peristiwa itu, seorang lelaki yang bernama Monsopiad telah membunuh dan memenggal kepala-kepala perompak itu dan mempamerkannya sebagai satu amaran kepada perompak-perompak lain agar tidak datang ke kampung mereka. Monsopiad berjaya memenggal 42 kepala manusia sepanjang riwayatnya termasuklah pencabar-pencabar Monsopiad yang tinggal di daerah Penampang. Dikatakan Monsopiad telah mengukir tanda pangkah bagi setiap kepala perompak yang berjaya dipenggal pada sebuah batu . Batu ini akhirnya dijadikan sebagai batu nisan Monsopiad selepas dia meninggal. 



  •  Kelahiran Monsopiad 


Sejarah bermula apabila Kizabon melahirkan seorang anak lelaki iaitu hasil perkahwinannya dengan Dunggou iaitu suaminya. Mereka tinggal di sebuah rumah panjang di kampung Kuai Kandazon, Penampang sejak 300 tahun yang lalu. Peristiwa bermula apabila Kizabon dan Dunggou terdengar bunyi seekor `Bugang ’ diatas bumbung rumah mereka ketika Kizabon sedang melahirkan anak. Dunggou menganggap kejadian itu terlalu istimewa lalu dia memanjat bumbung rumah panjang itu. Disitu dia ternampak satu sarang Bugang. Di dalam sarang itu, terdapat sebiji telur Bugang yang turut menetas. Tetapi Bugang tidak berada disitu lagi. Yang tinggal hanyalah pecahan kulit telur. Dunggou menganggap kejadian itu sebagai satu petanda yang baik dan percaya bahawa anak lelakinya yang baru dilahirkan itu adalah anak yang perkasa. Lalu Dunggou mengambil pecahan telur itu dan merendamkan ke dalam mandian anaknya. Perkara ini sentiasa dilakukan oleh Dunggou sehinggalah anaknya membesar. Dunggou menamakan anaknya sebagai Monsopiad. 



  • Monsopiad diajar seni mempertahankan diri


Setelah dewasa, Monsopiad diajar oleh datuknya dalam seni mempertahankan diri. Monsopiad dikatakan seorang yang tampan dan segak serta berambut panjang. Ketinggiannya adalah sederhana sahaja. Ketampanan dan susuk badan Monsopiad menyebabkan ramai gadis-gadis berminat berkahwin dengannya. Monsopiad juga selalu berlatih dengan menggunakan pedang yang diberikan oleh datuknya. Disamping berlatih menggunakan pedang, Monsopiad gemar melompat sungai-sungai dan parit-parit. Lompatannya ini dikatakan sangat luarbiasa.  



  • Bermulanya Sejarah Memenggal Kepala Oleh Monsopiad


Pada satu hari, lebih kurang 40 orang gadis meminta Monsopiad menemani mereka pergi ke sawah padi untuk `menabas ’. Setibanya di sawah padi, mereka mendapati padi-padi mereka sudah di curi. Mereka sangat kecewa kerana selama ini mereka bertungkus lumus mengerjakan sawah padi tetapi hasilnya tidak banyak kerana di curi. Monsopiad memberitahu gadis-gadis itu bersabar dan terus mengerjakan sawah padi mereka seperti biasa dan tunggu semusim lagi. Semusim telah berlalu, sekali lagi perompak-perompak itu mencuri hasil pertanian mereka. Gadis-gadis itu sangat marah lalu mencabar Monsopiad agar memenggal kepala perompak-perompak itu jika dia seorang lelaki. Mereka berjanji akan melantik Monsopiad sebagai `Huguan Siou’ dan segala apa yang dia cakap, penduduk disitu akan menurutinya. Monsopiad pun bersetuju dengan syarat, jika dia berjaya memenggal kepala-kepala perompak itu, dia mahu satu penghormatan khas diadakan iaitu Monsopiad harus digendong dan satu jamuan makan secara besar-besaran diadakan dan semua orang harus berkumpul untuk menyambut kepulangannya. Gadis-gadis itu meminta apakah petanda Monsopiad berjaya membawa balik kepala perompak-perompak itu. Monsopiad mengatakan, dia akan menjerit `Kiii...hii... ’ sambil membunyikan `tobui ’. Keesokkan harinya, Monsopiad menggalas sebuah `gozong ’ yang berisi makanan dan membawa sebilah pedang lalu beredar dari rumah panjang untuk mencari perompak-perompak. Seperti yang dijanjikan oleh Monsopiad, dia telah berjaya memenggal beberapa kepala perompak-perompak dengan menggunakan pedang. Kepala-kepala perompak itu dimasukkan ke dalam `gozong’ nya lalu balik ke rumah panjang. Monsopiad telah disambut secara penuh tradisi sebagai seorang `Huguan Siou’ oleh golongan `bobohizan ’ dan penduduk kampung. Perkara ini berterusan sehinggalah keadaan menjadi aman di kampung mereka. Kepala-kepala yang dipenggal diletakkan diatas `bangkahak’ untuk dikeringkan kemudian dicampurkan dengan `hizad ’. Selepas itu, tidak ada lagi kedengaran perompak-perompak datang ke kampung mereka untuk mencuri ternakan dan pertanian. Walau bagaimanapun, beberapa orang yang tinggal di kawasan penampang merasa tidak senang hati dengan kehandalan Monsopiad. Mereka ialah Gantang , Manggung dan Sangkad . Mereka terasa tercabar dan mahu berlawan dengan Monsopiad bagi menunjukkan siapa yang handal di seluruh daerah Penampang. Malangnya pencabar ini semuanya berjaya ditewaskan oleh Monsopiad dan seterusnya memenggal kepala-kepala mereka.  



  • Kematian Monsopiad


Pada suatu malam, semasa Monsopiad tertidur kerana mabuk meminum tapai di rumah kediamannya, Monsopiad telah di serang oleh sekumpulan orang yang tidak dikenali yang mahu membunuh Monsopiad dengan menggunakan parang. Penyerang gagal membunuh Monsopiad kerana Monsopiad dikatakan kebal. Pada malam itu, Monsopiad berjaya menewaskan beberapa penyerangnya dengan hanya menggunakan penumbuk. Walau bagaimanapun, daripada serangan itu, Monsopiad telah tertumbuk dinding rumah yang diperbuat daripada bambu kerana penyerangnya berjaya mengelak. Ini menyebabkan tangan Monsopiad terluka terkena bambu. Melihat keadaan itu, Monsopiad melompat keatas bumbung rumah lalu melarikan diri dan bersembunyi ke dalam hutan. Selepas kejadian itu, Monsopiad menderita kesakitan dan luka itu tidak dapat disembuhkan. Monsopiad akhirnya meninggal dan dikuburkan diatas bukit di kampung Kuai Kandazon, Penampang oleh penduduk-penduduk kampung. Batu yang di ukir oleh Monsopiad kemudiannya diletakkan diatas kuburan Monsopiad. Kuburan ini masih kelihatan sehingga sekarang. 

ANTANOM





Sebagaimana yang tercatat dalam sejarah mengenai perjuangan Antanom menggerakkan pemberontakan Rundum menentang penjajah pada tahun 1915 yang ditulis oleh sejarawan Barat; ada fakta yang perlu dibetulkan dari segi nama sebenarnya yang memimpin pemberontakan itu. 
Menurut tradisi orang-orang Inggeris, mereka lazimnya menyebut nama keluarga daripada nama peribadi. Orang yang memimpin pemberontakan Rundum itu ialah anaknya bernama Ontoros dan bukan Antanom bapanya. Disinilah berlakunya kekeliruan fakta. Bagaimanapun, oleh kerana nama Antanom sudah terkenal dan tercatat dalam sejarah tanahair, buku yang akan terbit mengenai pemberontakan itu mengekalkan nama Antanom itu sebagai Ontoros. 
Antanom atau Ontoros dilahirkan di kawasan " Masinpunon " sungai Salarom pada tahun 1885 dan berumur dalam lingkungan 30 tahun ketika pemberontakan itu dilancarkan. 
Antanom adalah anak keturunan Suku Murut Tagol dari golongan bermartabat mengikut adat istiadat kaum murut. Dia dibesarkan dalam zaman daerah kampungnya dilanda oleh persengketaan kaum dan oleh ancaman pemburu kepala kaum Dayak dari kawasan perbatasan atau dikenali dengan istilah " Pengayau ". 
Didikan yang diterimanya ialah mengenal kehidupan rimbanya dan bermain senjata. Jiwanya dibentuk agar menjadi seorang kalawon atau pahlawan dan semangat sedia berkorban telah disemai dalam hidupnya supaya bertanggungjawab melindungi keluarga dan kaumnya. 
Orang pengecut tidak ada tempat dalam dunia rimba. Didalam keadaan persekitarannya bergolak oleh permusuhan kaum yang berpunca dari hutang darah, Antanom/Ontoros tidak ada pilihan, selain daripada berwatak keras dan berani. Jika pun dia menjadi jahat dari kacamata Inggeris, kerana tidak tunduk kepada kuasa mereka, bukanlah kerana Tuhan membentuknya menjadi orang ganas, tetapi suasana persekityarannya yang memaksa Antanom/Ontoros bertindak demikian. 
Perwatakan Antanom/Ontoros yang berbadan tegap berambut panjang itu, bila lengkap berpakaian tradisi, bercawat dengan tombak ditangan dan Pailang tersisip dipinggang, dia kelihatan gagah dan mengerunkan. Sikapnya tegas dan tenang dalam menghadapi bahaya. Bila dia telah memutuskan sesuatu, dia akan kotakan kata-katanya dan bertindak dengan penuh keazaman. 
Antanom dikagumi bukan saja kerana kehebatannya menggerakkan pemberontakan menentang Kompeni Inggeris itu, tetapi lebih kepada kewibawaannya menyatupadukan kaumnya yang ketika itu sedang dilanda sengketa dan perpecahan. Inggeris sendiri mengakui keistimewaan Antanom mendamai dan menyatupadukan suku-suku Murut yang bermusuhan itu. 
Faktor yang menyebabkan tercetusnya penentangan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris didorong oleh beberapa sebab yang telah terkumpul dan menjadi bara. Sejak tahun 1909 gerakan menentang Inggeris sudah dimulakan oleh kaum Murut, tetapi setelah dua orang pemimpinnya terbunuh, Linggam dan Melayak, gerakan penentangan itu terhenti buat sementera waktu. Api yang tidak menjilat batang, daun dan ranting; tidak bererti api tidak bersembunyi dibawah tanah memakan akar. 
Kemarahan dan kegelisahan kaum Murut terhadap Kompeni Inggeris berpunca dari empat perkara utama. Hak mereka dicerobohi, bila ramai daripada pedagang hasil hutan dibenarkan mengutip hasil hutan di pedalaman. Mereka dijadikan buruh paksa membina jalan denai ( Jalan Kuda ) dan merentang kawat telegraph antara Tenom ke Rundum tanpa upah. Upah yang diberikan kepada mereka sekadar rokok tembakau sahaja. Mengenakan cukai kepala, padi dan tapai juga menyumbang kepada kemarahan mereka. Semuanya ini pada pandangan mereka adalah tidak wajar. Kehidupan mereka yang merdeka dan bebas di kawasan belantara luas itu telah terganggu. 

Keadaan bertambah buruk lagi pada tahun 1910 apabila Kompeni Inggeris menghantar buat pertama kalinya seorang Pegawai Daerah Mazwell Hall, membuka setesen di Rundum, sebagai langkah menyekat kegiatan memburu kepala. 
Seramai tidak kurang 900 orang kaum Murut dari beberapa kawasan, termasuk Tenom, Keningau, Pensiangan dan perbatasan daerah Borneo Belanda, telah menyertai gerakan pemberontakan itu. Beberapa buah kubu pertahanan telah dibina di Selangit sebagai kubu induk atau digelar Silar Pinikit, diikuti oleh beberapa buah kubu lagi di Menining ulu sungai Telokoson, Kubu Liohon, Kubu Impal dan Kubu Salang. Kubu-kubu ini dibina sekitar tahun 1913 sehingga 1915 dengan paduan tenaga seluruh kaum Murut di kawasan Pedalaman. Serangan ke atas setesen Rundum merupakan serangan pramasa. Antanom/Ontoros sebenarnya tidak mahu melancarkan serangan terburu-buru, kerana banyak lagi kubu mereka belum siap dibina. 
Dalam pertempuran di kubu induk mereka, Antanom/Ontoros diperdaya dengan gencatan senjata dan niat untuk berdamai, tetapi sebaliknya mata-mata upahan Inggeris telah memenggal kepalanya. Bagaimanapun, banyak fakta yang sebenar berlaku, telah dipesongkan oleh sejarawan Barat. Kalaupun bukan dengan sengaja, niat melindungi maruah Empayar British itu tetap ada, sehingga segala fakta menjadi tidak jelas.

Friday 16 January 2015

DATU PADUKA MAT SALLEH



  • Datu Paduka Mat Salleh atau lebih dikenali sebagai Mat Salleh adalah seorang yang disayangi oleh orang ramai terutamanya rakyat Sabah. antara sebabnya adalah kerana Mat Salleh terkenal dengan penentangan beliau yang amat hebat terhadap pihak Brisith semasa penjajahan British di negeri Sabah .
  • Mat Salleh adalah anak kedua dalam 4 orang adik-beradik keluarga mereka berasal daripada keturunan Sulu dan Bajau.
  • Pihak British tidak senang dengan tindakan Mat Salleh yang menggunakan pungutan cukai daripada pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut untuk perbelanjaan dan pentadbiran beliau pada tahun 1895.
  • Mat Salleh diserang oleh pihak British di Jambongan dan memusnahkan kampong Mat Salleh di Singai Sugut pada tahun 1896. Bagaimanapun, Mat Salleh dapat melarikan diri.
  • Mat Sallehdan pengikut-pengikutnya menyerang pejabat petadbiran kompeni di Pulau Gaya serta menentang penceroboh dan keganasan Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Mat Salleh juga telah menyerang dan membakar  pejabat Residen kompeni di Ambong semasa pihak British menyerang kubu Mat Salle yang berada di Ranau. Ramai askar-askar British terbunuh. Pihak British berasa tidak berpuas hati lalu meraka menyerang kubu Mat Salleh sekali lagi pada bulan Januari 1898 dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh juga terpaksa mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang di kampung Tibabar, Tambunan. Kota yang dibina oleh Mat Salleh amat sukar ditemui, ia diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh yang tidak dapat ditembusi peluru. Setiap penjuru Kota dikawal dan jalan bawah Tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantua-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan tersebut juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.
  • Pada 31 Januari 1900, Kota Mat Salleh tumbang akibat serangan hebat kompeni yang telah mematahkan pertahanan Mat Salleh. Peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa. Mat Salleh adalah seorang pemberontak pada pandangan British tetapi merupakan pahlawanyang berani dan merupakan seorang pejuang kemerdekaan.