Tuesday 17 March 2015

Panglima Ali

Panglima Alli atau nama sebenarnya Ali Imam Abbas Sani berbangsa Bajau subetnik Ubian dari Pulau Sulug, Jesselton yang turut terbunuh dalam tragedi hitam itu.

   Panglima Alli dilahirkan pada 1884 adalah anak ketiga daripada 12 beradik serta  dianugerahkan gelaran Panglima oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB)  kerana keberanian beliau menentang Kempeitai (perisik tentera Jepun)

PANGLIMA Alli berjuang menentang penjajah untuk memartabat maruah bangsa yang menjadi hamba di bumi sendiri, tetapi namanya tidak didendang seperti Datuk Paduka Mat Salleh, Ontoros Antanom dan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

      Kebakaran gudang getah di Pelabuhan Jesselton (kini Kota Kinabalu) pada 9 Oktober  1943 menjadi kemuncak kebencian Jepun terhadap pemimpin masyarakat Pulau Sulug itu dengan mendakwa ia angkara tokoh terbabit dan pengikutnya.

    Panglima Alli adalah seorang daripada 324 rakyat tempatan Sabah yang dibunuh secara kejam oleh Jepun di Petagas, Kota Kinabalu pada 21 Januari 1944 dan pengorbanan  mereka diabadikan melalui Tugu Peringatan Petagas.

    Tentera Jepun bertindak balas dengan melancarkan operasi menjejak pejuang Bajau  subetnik Ubian itu kerana tercabar dengan kebakaran gudang komoditi yang sangat  penting ketika Perang Dunia Kedua pada 1941 hingga 1945. 

    Tuduhan tanpa bukti itu berikutan tentangan berterusan Panglima Alli atau nama  sebenarnya Ali Imam Abbas Sani dan pengikutnya terhadap Jepun terutama di Pulau  Sulug dan  Pulau Gaya di perairan Jesselton, selain di bandar itu.

    Panglima Alli dan pengikutnya tidak membiarkan penduduk Pulau Gaya dan Pulau Sulug menjadi korban kekejaman Jepun menyebabkan mereka enggan meninggalkan pulau itu,  biarpun sedar Kempeitei (perisik tentera Jepun) akan bertindak balas.

   Tokoh itu bersama dua orang kanannya dikenali Kasil dan Sandolan akhirnya berjaya  ditawan yang berpunca kelemahan senjata iaitu parang sedangkan askar Nippon  menggunakan senjata api jenis mesingan.

    Panglima Alli dan pengikutnya dibunuh secara kejam di Petagas bersama anggota Gerila Kinabalu diketuai Albert Kwok yang terbabit dalam pemberontakan 10 Oktober 1943 atau `Double Ten' di Pantai Barat, Borneo Utara (kini Sabah).

SYARIFF OSMAN(WIRA MARUDU)

Syariff Osman atau nama sebenarnya Syariff Osman Bin Syariff Mohamad Rum adalah seorang Ketua Wilayah atau Raja yang memerintah Marudu di antara tahun 1830 - 1845. Beliau berketurunan Bajau/Suluk dan telah diamanahkan oleh Sultan Sulu bagi mentadbir kawasan Marudu. Bapanya seorang yang berketurunan syariff atau syed dan merupakan salah seorang pembesar istana Kesultanan Sulu dan Kesultanan Brunei.

Apabila Kesultanan Sulu mengambil alih beberapa kawasan di Borneo Utara dari Kesultanan Brunei, Syariff Osman telah dia amanahkan mentadbir wilayah Marudu. Pada masa ini, Struktur Pentadbiran Borneo ( Sabah ) di bawah Kesultanan Sulu telah dibahagikan kepada tiga wilayah atau kawasan; iaitu Wilayah Marudu, Wilayah Mangindora dan Wilayah Tirun. Wilayah Marudu meliputi kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi, Balambangan, Marudu, Tempasuk, Ambong, Pitas atau Lingkabao, Paitan, Sugut, Labuk dan berakhir di Teluk Sandakan. Wilayah Mangindora pula meliputi kawasaan Sandakan, Kinabatangan, Tungku, Sabahan ( Tingkayu ), sehingga ke Sungai Apas. Manakala Wilayah Tirun menganjur dari Sabahan sehingga ke kawasan Sibuko, Sambakong, Bulungan dan Berau. Kesemua kawasan ini ditadbir oleh beberapa orang Ketua Sulu yang terdiri daripada Datu, Shariff, Tuan dan Pangeran. Walau bagaimanapun, Marudu adalah wilayah utama dan merupakan kawasan yang terbesar sekali di antara tiga wilayah itu. Marudu diketuai oleh Shariff Osman, Mangindora diketuai oleh Tuan Abandol (Sungai Sandakan ), Datu Bandar ( Pangeran ) Betau (di Segaliud dan mengetuai orang-orang Buludupi/Idaan/Sungai ). Mana kala Wilayah Tirun ditadbir oleh beberapa orang Datu, antaranya ialah Datu Sapindin yang mentadbir Sabahan ( sebuah daerah di Teluk Darvel ).

Shariff Osman telah berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang dikenali sebagai Dayang Cahaya iaitu anak Raja Muda Bantilan atau Sultan Badaruddin. Dayang Cahaya merupakan adinda kepada Raja Muda Sulu iaitu Datu Mohamad Buyo atau Maharaja Adinda Aranan Puyoh.


Syariff Osman telah mendirikan pusat pentadbirannya di kawasan Kuala Sungai Besar (Sungai Bandau-Langkon. Beliau telah menjalankan perniagaan mengeksport hasil-hasil hutan dan laut seperti kapur barus, rotan, mutiara, beras bukit, kulit penyu, sarang burung, hasil-hasil laut dan sebagainya. Pada masa ini, Marudu muncul sebagai kawasan utama penyumbang hasil-hasil tersebut ke Sulu dan adalah wilayah yang terpenting sekali di antara semua wilayah Kesultanan Sulu. Syariff Osman juga dipertanggung jawabkan untuk memungut cukai untuk dirinya dan Sultan Sulu dari pedagang-pedagang yang menjalankan perniagaan di kawasan Marudu. Oleh itu, beliau telah melantik wakilnya yang terdiri daripada Datu-datu Sulu dan Ketua-ketua Suku untuk menjalankan tanggung jawab ini.

Pada masa ini juga, aktiviti pelanunan semakin berleluasa dan tidak dinafikan ada di antara ketua-ketua yang dilantik oleh Shariff Osman terlibat dalam aktiviti ini. Aktiviti ini sebenarnya dimulakan oleh pihak Sepanyol pada masa pelayaran Ferdinand Magellan. Ferdinand Magelland dicatatkan dalam sejarah oleh Pigafetta sebagai orang yang mula-mula sekali melanun di kepulauan Sulu. Ferdinand Magellan dalam perjalanan dari Sampang Mengayau ( Borneo ) pada tahun 1521 telah merompak kapal Wizurai Brunei di perairan Paragua ( Pulau Palawan) dan menawan Raja Pulau Palawan iaitu Tuan Mahamud dan anaknya Tuan Ahmad. Ferdinand Magelland telah membawa Tuan Mahamud ke Pulau Palawan dan memaksa penduduk di sana memberi makanan seperti ayam, kambing, babi, pisang, ubi dan bermacam-macam lagi kepada rombongan Magellan. Sejarah ini telah memulakan aktiviti peperangan di laut di antara orang-orang barat dan orang-orang tempatan dan selalunya pihak yang kalah akan dirampas kapal dan harta bendanya. Tawanan akan dijual sebagai hamba di mana-mana pelabuhan dagang utama. Aktiviti ini juga berlaku di kalangan pihak yang bermusuhan sama ada di kalangan kapal-kapal dagang barat sesama sendiri atau di antara pihak barat dan pihak timur. Sebenarnya sejarah penjajahan baratlah yang memulakan aktiviti ini. Keadaan ini berterusan sehinggalah pada abad ke-18 dan ke-19. Antara kumpulan lanun Borneo dan Sulu yang terkenal ialah kumpulan orang-orang Illanun ( Irranun ), Balanini ( Bangingi ) dan orang-orang Dayak Laut.

Sebenarnya, tidak ada satupun dokumen barat mahupun mana-mana dokumen dari Kesultanan Brunei atau Kesultanan Sulu yang dapat mengesahkan bahawa Syariff Osman telah merompak kapal dagang atau menyerang kampung mana-mana penduduk tempatan. Kebijaksanaan dan kepimpinan Syariff Osman sebenarnya adalah faktor utama yang telah menimbulkan rasa kemarahan dan perasaan cemburu pihak Barat dan beberapa pembesar Brunei. Syariff Osman dan pengaruhnya yang kuat ketika di Borneo dan Sulu itu boleh mengancam kewibawaan dan kekuasaan pihak Barat dan Brunei. Lebih-lebih lagi, tindakan Syariff Osman mengisytiharkan dirinya sebagai " Pemerintah Bebas " telah menimbulkan kemarahan musuh-musuhnya dan jika tidak dihalang dan dimusnahkan sudah tentulah Syariff Osman akan menjadi Sultan di Borneo. Pihak pembesar Brunei, Rajah James Brooke dan pihak British North Borneo akan terancam dan akan mengagalkan semua agenda mereka di Borneo Utara. Dr.Ranjit Singh, dalam buku, Commorative History Of Sabah 1881 - 1981 membuat ulasan seperti berikut;


"In certain cases, where Brunei and Sulu authority was lax and the settled population feared attacks by pirates, men of out-standing ability, strength and an independent disposition were able to establish themselves as protectors and virtual independent chiefs" 

Oleh yang demikian, kemunculan Ketua Bebas seperti Shariff Osman adalah disebabkan oleh kemerosotan dan lemahnya kekuasaan Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu pada masa itu dan disebabkan oleh meningkatnya ancaman lanun. Dalam hal ini, Shariff Osman adalah pilihan terbaik untuk memberikan perlindungan dan jaminan keselamatan kepada penduduk Borneo Utara, khasnya di Marudu daripada ancaman lanun. Dengan ini, adalah mustahil seorang ketua yang menjadi pelindung rakyat di wilayahnya menyamun, membunuh, merogol atau melanun orang-orang yang menjadi rakyatnya sendiri.

Kesanggupan Shariff Osman untuk memberikan perlindungan terhadap orang-orang di bawah kekuasaannya dan kerelaannya untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman dan serangan lanun-lanun telah menyebabkan ramai orang yang datang dan tinggal menetap di wilayah Marudu. Ini menyebabkan berlakunya ledakan penduduk di Marudu sehingga Marudu menjadi wilayah yang terpenting dan paling ramai didiami penduduk Borneo Utara ketika itu. St. John dalam bukunya," Life in the Forest of the Far East " yang ditulisnya pada tahun 1863 menganggarkan penduduk dalam "daerah Marudu" ketika itu lebih kurang 50,000 orang . Jumlah ini tidak termasuk penduduk di kawasan kepulauan Palawan, Balabak, Banggi dan pulau-pulau sekitarnya yang juga berada di bawah pemerintahan Shariff Osman. Jumlah penduduk ini jauh lebih ramai dari penduduk Kerajaan Brunei dan Kerajaan James Brooke. Negeri Marudu telah muncul sebagai saingan terbaru Kerajaan Brunei dan Kerajaan Brooke dan jika tidak disekat dan dimusnahkan besar kemungkinan ia akan mengancam semua kerajaan yang ada di Borneo Utara ketika itu. Penduduk-penduduk yang tinggal di negeri Shariff Osman terlibat dengan aktiviti ekonomi penternakan dan perikanan, sementara mereka yang tinggal kawasan penempatan Shariff Osman menjalankan aktiviti ekonomi perdagangan 

Dalam rancangannya untuk memberikan perlindungan terhadap rakyatnya, Shariff Osman telah dibantu oleh sejumlah besar panglima dan pahlawan dari Sulu, Brunei dan Borneo yang sanggup menjadi pengikutnya. Dia telah membina kubu yang kuat di Kuala Sungai Besar yang dilengkapi dengan senjata api dan dua meriam yang besar. Bahagian depan kubunya telah ditempatkan kapal-kapal dan perahu perang yang sedia berperang pada bila-bila masa sahaja. Manakala perairan sungai bahagian hadapan kubunyan telah dipasang dengan rantai besi yang merentangi perairan kubunya agar kapal-kapal yang menyerang kubunya tidak dapat mendekati pangkalannya.

Datuk Maharajalela Musa Ungu (Pak Musa)

Image

Pahlawan Sabah menggunakan perniagaan untuk menyatukan masyarakat menentang Jepun

DATUK Maharajalela Musa Unggu atau lebih dikenali Pak Musa diiktiraf seorang daripada pejuang kemerdekaan Sabah, tetapi tidak ramai yang tahu tokoh itu dibunuh kerana karismanya dalam bidang perniagaan pada awal abad ke-20.

Pak Musa atau nama asalnya sebelum memeluk Islam, Adui Unggu dibunuh secara kejam askar Jepun pada 1944 kerana ketokohannya memajukan ekonomi Orang Sungai, Kadazandusun, Brunei dan Bisaya di Membakut dan Beaufort.



Kaedah perniagaan digunakan mirip sistem koperasi iaitu pelbagai hasil tani, belantara dan haiwan buruan tokoh itu dan pengikutnya akan dikumpul, sebelum dipasarkan sehingga ke Brunei Darussalam dan Singapura.

Kebijaksanaan pahlawan Sabah itu menyatukan masyarakat pelbagai kaum dalam bidang perniagaan menyebabkan Jepun menganggapnya ancaman kepada mereka.

Beliau dan pengikutnya diisytiharkan sebagai musuh kerana kononnya menjadi sekutu Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBBUB).Jepun menganggap Pak Musa berselindung di sebalik perniagaan yang ditaja British untuk mempengaruhi rakyat Membakut dan Beaufort supaya menyertai perjuangan SBBUB untuk mengusir mereka dari bumi Borneo Utara (kini Sabah).

Ini menyebabkan askar Nippon memburu Pak Musa dan pengikutnya, tetapi mereka enggan berundur, sebaliknya menyerang balas setiap kali masyarakat pribumi di Membakut dan Beaufort dibunuh, ditindas dan diugut penjajah.

Cucu saudaranya, Subohria Amat Tua, 83, berkata Pak Musa dilahirkan di Kampung Kusilad, Pitas di Utara Sabah pada 1867, tetapi menjadikan Paitan, Beluran dan Membakut sebagai pangkalan untuk menentang British dan Jepun.

Beliau berhijrah ke Paitan ketika usia remaja untuk menuntut ilmu persilatan dan kebatinan pada 1908.


CICIT Pak Musa, Syehriffah Tanjil mewarisi harta pusaka milik Pak Musa.
Ketika zaman penjajahan British, beliau bersama pengikutnya menyerang dan membakar Balai Polis Tanjung Nipis, Paitan untuk membela nasib masyarakat pribumi daerah itu yang menjadi mangsa kekejaman SBBUB.

Ini menyebabkan beliau menjadi buruan penjajah dan kemuncaknya dibuang daerah ke Membakut pada 1913 iaitu selepas beliau menerima tawaran British untuk berdamai dan hukuman bunuh ditukar kepada buang daerah.

Turut dibuang daerah adalah abang Pak Musa, Mondut dan adiknya Mualas Unggu serta dua sepupu mereka dikenali Kuloi dan Ulan yang diarahkan ke Membakut manakala dua lagi, Serail (Klias, Beaufort) dan Unggal (Kinarut, Papar). Mondut meninggal dunia dalam perjalanan dari Petagas ke Membakut.

Subohria berkata, mangsa kekejaman penjajah itu meninggalkan kampung halaman bersama keluarga masing-masing dan belayar ke Jesselton (kini Kota Kinabalu) menggunakan kapal layar yang mereka sediakan sendiri. Pelayaran enam bulan itu tanpa pengawasan SBBUB.

Selain pernah menetap di rumah Pak Musa, Subohria mendapat maklumat kepahlawanan Pak Musa daripada ibunya, Dauyah Mondut yang terbabit dalam pelayaran merentasi samudera Pitas, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran.

Katanya, selain berehat, mencari bekalan makanan dan membaiki kapal layar, Pak Musa turut menjalinkan hubungan persahabatan dan membangkitkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat sepanjang lokasi persinggahan.

Beliau berkata, sebaik tiba di Jesselton, wakil Residen British membawa mereka ke Petagas, dekat bandar itu dan menetap di sana selama tiga tahun sebelum diarahkan ke Membakut.

"Masyarakat tempatan di Membakut terutama Kadazandusun, Brunei dan Bisaya dapat menerima kehadiran Pak Musa dan mengangkatnya sebagai pemimpin mereka terutama dalam bidang perniagaan dan menuntut kemerdekaan," katanya.

Subohria berkata, Pak Musa sering bertapa di lubang batu di kenali `wasai' yang kini masih wujud di kawasan air terjun Pak Musa di pinggir Kampung Bambangan, kira-kira 13 kilometer dari Pekan Membakut.

"Selain mengukuh dan meningkatkan ilmu batin dan persilatan, tokoh itu turut mencari ilham untuk meningkatkan ekonomi masyarakat pribumi dan membebaskan anak watan daripada cengkaman penjajah," katanya.

Subohria masih ingat, lima perahu besar digunakan untuk mengangkut hasil dagangan Pak Musa dari Kampung Bambangan ke Pekan Membakut, sebelum diangkut menggunakan kereta api ke Kota Kinabalu atau Tenom.

Katanya, hasil dagangan dikumpul oleh pengikutnya yang diperoleh daripada sumber kebun dan belantara sekitar Membakut dan Beaufort serta rumah Pak Musa adalah pusat pengumpulan barangan berkenaan, sebelum dipasarkan.

Bagaimanapun, ketika itu `Kempetei' (perisik tentera Jepun) sering keluar masuk ke Kampung Bambangan untuk memburu Pak Musa dan pengikutnya, tetapi sebagai seorang pejuang sejati beliau akan berjuang mempertahankan rakyat.

Jepun yang menyedari, sukar untuk mengalahkan Pak Musa, menukar strategi dengan mengugut akan menangkap dan membunuh keluarganya. Ini menyebabkan Pak Musa membuat keputusan untuk menyerah diri.

Jepun dikatakan menyedari Pak Musa mempunyai ilmu kebal dan berusaha untuk melemahkan pahlawan Sabah itu. Akhirnya askar Nippon menerima maklumat bahawa ilmu Pak Musa akan terhakis jika memasuki kawasan bernajis. Askar Nippon kemudian memasang jerangkap samar pada sebuah lubang najis di dalam penjara.

Subohria yang menyimpan lembing digunakan Pak Musa ketika menentang Jepun dan British berkata, Pak Musa kononnya terjatuh ke dalam lubang itu menyebabkan kekebalannya hilang yang sekali gus peluang itu digunakan oleh askar Nippon untuk memancung kepalanya.

Pak Musa adalah seorang pahlawan yang bukan saja sanggup menggadai nyawa untuk menuntut kemerdekaan, tetapi berjuang memajukan ekonomi etnik pribumi yang hidup dalam kemiskinan.